Tuesday, December 2, 2008

C.RONALDO - Pemain Terbaik Eropah 2008


PARIS: Cristiano Ronaldo memenangi Anugerah Bola Emas sebagai Pemain Terbaik Tahunan Eropah, semalam, bagi menjadi pemain Manchester United keempat meraih penghormatan itu dan yang pertama sejak George Best memenanginya pada 1968. Sentuhan jaringan hebat Ronaldo membantunya mengatasi penyerang Barcelona, Lionel Messi yang menduduki tempat kedua, ketika penyerang Liverpool, Fernando Torres di tempat ketiga daripada keputusan undian yang diumumkan oleh majalah France Football. "Ia adalah antara hari terhebat dalam hidup saya. Memenangi anugerah ini...saya impikannya sejak kecil lagi. Mereka yang mengenali saya, hidup dengan saya, tahu bahawa ini adalah mimpi yang jadi kenyataan buat saya," katanya.


Ronaldo mendominasi pengundian itu, meraih 446 undi. Messi mendapat 281 undi dan Torres, 179 undi. Ia memberikan Ronaldo dua mata lebih daripada jumlah diraih Kaka ketika memenangi anugerah itu, tahun lalu. "Saya hanya 23 tahun dan ia menakjubkan. Sukar dipercayai. Ia lebih baik jika mengambil kira nama besar dalam saingan tahun ini. Lionel Messi di tempat kedua dan Torres di tempat ketiga, tetapi juga Xavi (Hernandez, di tempat kelima)." Ronaldo memuji rakan sepasukan yang membantunya, dan berkata dia berharap untuk memenangi anugerah itu sekali lagi.



"Merekalah yang mengumpan bola kepada saya untuk menjaringkan gol. Apa yang pasti ialah saya mahu memenanginya sekali lagi, ia rasa amat bagus. Jadi (pagi esok), pada jam lapan pagi, saya akan bangun dan memberitahu diri sendiri bahawa saya mahu jadi lebih baik," katanya. Tahun lalu, Ronaldo menduduki tempat kedua dengan 277 undi, ketika Messi di tempat ketiga dengan 255 undi.



Pemenang tahun lalu, Kaka, merosot ke tangga kelapan tahun ini dengan hanya 31 undi. Ronaldo menjaringkan 42 gol dalam semua kejohanan musim lalu ketika United memenangi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah. Dia menambah anugerah itu kepada trofi Pemain Terbaik Dunia FIFPro yang dimenangi Oktober lalu, serta anugerah daripada Persatuan Pemain-pemain Profesional serta Penulis-penulis Bola Sepak England. - AP



sumber drp Berita Harian

1 comment:

megat said...

Reason To Love A Women